Terengganu Masuk Ke Zon Industri Silika

tengkuTerengganu kini tertumpu kepada projek pembangunan Lembah Silika di atas tapak seluas kira-kira 1,800 hektar di Bari, Setiu yang dijangka bermula selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan ne­geri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berkata, ketika ini, beberapa proses teknikal termasuk kerja-kerja mereka bentuk bangunan telah dijalankan.

“Jika tidak ada ha­­­la­­­­­­­n­g­­an, saya jangka pe­ringkat pertama daripada empat peringkat keseluruhan projek tersebut dapat dimulakan tahun ini juga,” katanya baru-baru ini

Projek tersebut dilancarkan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Februari 2012.

Terengganu mempunyai rizab terbesar pasir silika di rantau ini dengan lebih 80 juta tan metrik deposit gred tinggi dan dianggarkan mampu bertahan selama lebih 70 tahun.

Syarikat konsortium, TRG Perindustrian Mineral Sdn. Bhd. (TIM), yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan projek tersebut dijangka memperuntukkan pelaburan RM350 juta bagi membangunkan penceriaan atau nilai tambah dalam industri hiliran di Lembah Silika.

Apabila projek tersebut siap sepenuhnya kelak, dijangka membuka peluang pekerjaan kepada hampir 1,000 orang termasuk 350 orang pada tahap industri I&II manakala selebihnya bagi tahap industri aplikasi (hiliran).

Menurut Tengku Putera, kerajaan negeri mahu industri baharu berasaskan sumber alam negeri ini dapat memberikan nilai tambah yang besar buat negeri dan rakyat.

“Ini akan dibangunkan dalam empat peringkat iaitu pemprosesan pasir silika Gred 1&2 (peringkat pertama), di samping pemprosesan silika pe­ringkat industri tinggi (peringkat 2).

“Ini akan diikuti dengan pembangunan industri hiliran seperti pengeluaran sodium silikat, palet kaca mentah, blok dan rod (pe­ringkat 3) dan penubuhan industri kaca apung di Kertih (peringkat 4),” ujarnya.

Tengku Putera berkata silika di kawasan tersebut bermutu tinggi dengan kandungan 99.5 hingga 99.7 peratus silikon oksida yang boleh dimanfaatkan untuk mengeluarkan pelbagai produk industri.

Tambahnya, kerajaan negeri menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap keupayaan TIM untuk mengendalikan projek berkenaan memandangkan reputasi yang dimiliki oleh syarikat tersebut.

Sourced from teganukita.my


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *