PEMBANGUNAN LEMBAH SILIKA MENGUNAKAN TEKNOLOGI HIJAU

4

Pembangunan lembah silika di Setiu nyata akan membawa impak positif kepada rakyat negeri Terengganu terutama penduduk sekitar.

Tapak projek pengeluaran pasir silika di kawasan seluas 1,800 hektar di Setiu dan Marang akan menjadi kawasan perindustrian berpusat pertama di dunia untuk silika dan sektor berkaitan galian itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata projek tersebut akan memberi banyak kebaikan terutama kepada rakyat negeri Terengganu.

“Projek yang dibangunkan oleh Terengganu Silica Consortium Sdn. Bhd. (TSC) amat menitikberatkan kepada teknologi hijau serta isu keselamatan.

3

“Dengan teknologi tinggi yang diguna pakai dan ada diantaranya merupakan pertama kali digunakan di Asia menunjukkan kehebatan dari aspek pembangunan,” katanya kepada Teganukita.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat tapak Projek Pembinaan Kilang Pemprosesan Silika di Bari, Setiu, semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Setiu, Talaha Ali dan  Pengerusi TSC, Tengku Seri Temengong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Ahmad Razif turut berkata dengan kewujudan lembah silika tersebut, ia akan dijadikan sebagai katalis utama kepada kemajuan di daerah itu.

2

Tambahnya, pembangunan yang cepat akan dapat disaksikan kelak apabila kilang tersebut siap dibina sepenuhnya.

“Buat masa sekarang, pembinaannya dalam fasa pertama dan telah pun siap sehingga 80 peratus.

“Apabila siap sepenuhnya kelak, kita jangkakan wujudnya bandar-bandar kecil yang akan dibangunkan di sekitar kawasan ini,” katanya.

8

Ujarnya lagi, pihak kerajaan juga telah melakukan persetujuan bersama dengan syarikat TSC bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak Terengganu.

“Bagi membolehkan rakyat negeri ini memperoleh hasil bersama, program ‘Training of Trainers’ (TOT) diadakan untuk melatih tenaga mahir dalam bidang ini.

“Mereka akan dihantar ke luar negara untuk mempelajari selok belok dalam bidang silika sekaligus menggantikan pekerja mahir sedia ada dimana buat masa sekarang adalah pakar dari luar,” katanya.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *